IPOH: Rakyat tidak wajar mengambil pendekatan 'pukul rata' berhubung isu pemberian dos penggalak atau dos ketiga vaksin COVID-19.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebaliknya rakyat dinasihatkan mengikut saranan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkenaan pengambilan dos vaksin itu.

"Saya ingat jawapan yang diberi oleh Ketua Pengarah Kesihatan itu yang kita perlu akur. Sebab dia lebih arif tentang pengetahuan kesihatan.

"Orang ramai pun kena ingat, jangan hanya kerana satu kes kita pukul (rata) semua.

"Katakan daripada 100 orang yang mengambil dos penggalak (vaksin COVID-19), seorang saja yang jatuh sakit. Janganlah pukul (rata) seratus peratus, tak betul macam itu," ujarnya.

Saarani menegaskan orang ramai juga perlu melihat kepada jumlah kes terpencil berhubung isu kesan dos vaksin penggalak COVID-19 kepada penerima.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita mengenai Kementerian Kesihatan (KKM) wajar menangguhkan pemberian dos penggalak atau dos ketiga vaksin COVID-19 kerana dibimbangi mempunyai kesan yang serius terhadap kesihatan.

BACA: KKM digesa tangguhkan seketika pemberian dos penggalak, keluarkan panduan individu layak

Media melaporkan, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata penangguhan berkenaan perlu mengambil kira satu kenyataan yang jelas terhadap siapa atau golongan mana yang sebenarnya tidak wajar mengambil dos berkenaan.

Terdahulu Saarani merasmikan Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baharu 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan ketua-ketua Jabatan.